PETALING JAYA – “Pelik-pelik betul la bila datang mahkamah, tengok kes orang nak bercerai atas alasan yang remeh,” itulah luahan yang dikongsikan Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli menerusi catatan di kumpulan Telegram, Nota Syarie by Fahmi Ramli.
Katanya, selain isu curang, pelbagai alasan pelik turut menjadi punca keruntuhan sesebuah rumah tangga antaranya keadaan ketika tidur yang kurang memuaskan pasangan.
“Terkejut betul bila hakim tanya nak cerai sebab apa? Tak sefahaman. Ye la, tak sefahaman atas isu apa? Kita ingatkan isu curang ke, isu nafkah ke, bergaduh sebab lemah batin ke. Rupanya bergaduh sebab tak berkenan cara bini tidur. Sebab air liur meleleh.
“Tak pastilah yang ni memang isu seriuslah kot bagi sesetengah orang. Tapi, apalah sangat kerana isu tu sampai nak bercerai berai,” katanya.
Tambah Khairul Fahmi, ada juga pasangan yang bergaduh sehingga berlaku perceraian disebabkan kes period si isteri.
“Ada yang lafaz cerai bergaduh di rumah sebab isu bini tertumpah darah period atas tilam. Itu pun nak marah ka? Cabut cadar basuh je la kan.
“Heran sungguh. Mudah betul nak baran, bergaduh hanya kerana isu yang boleh selesai dengan satu tindakan mudah, mencuci,” kongsinya.
Beliau turut meninggalkan pesanan mengingatkan suami isteri untuk sentiasa bertolak ansur dalam berumah tangga dan tidak mudah berbalah hanya kerana hal remeh.
“Istighfarlah. Air liur meleleh itu mungkin tandanya penat. Fikirlah tentang kepenatan pasangan untuk bantu uruskan rumahtangga.
“Darah period bocor atas tilam pun bukan disengajakan. Benda yang orang lelaki tak tahu apa perempuan rasa pun,” katanya. – KOSMO! ONLINE