ISKANDAR PUTERI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merekodkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah agensi itu dengan kutipan sebanyak RM412 juta pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jumlah kutipan itu melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu RM400 juta.
“Memandangkan pertumbuhan yang positif ini, MAINJ meletakkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM430 juta pada tahun ini. Ini sasaran yang wajar untuk kita menyasarkan kenaikan RM20 juta lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bantuan Pendidikan dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Horizon Hill, di sini semalam.
MoU antara MAINJ dan PTPTN adalah satu perjanjian dalam melaksanakan skim perlindungan takaful kepada 341 pelajar yang berada di Mesir dan Jordan dengan jumlah belanja sebanyak RM360 juta setahun.
Kerjasama ini bagi menggalakkan pelajar membuat tabungan di samping dilindungi faedah yang terdapat dalam perlindungan takaful sepanjang tempoh berada di luar negara.
Mohd. Fared berkata, MAINJ diharap untuk menyantuni lebih ramai komuniti seperti kelab kereta dan motosikal berkuasa tinggi dalam berkongsi maklumat tentang perihal wakaf, zakat dan juga infaq supaya mereka juga termaklum.- KOSMO! ONLINE