RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup pelbagai jenis anak pokok buah-buahan dan bunga bernilai lebih RM2.05 juta selepas menahan dua buah lori dalam serbuan berasingan di sini hari ini dan semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, tangkapan pertama dilakukan pukul 9 pagi di Batu Karang semalam selepas pihaknya menahan lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 33 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai 1,500 anak pokok durian Monthong, dokong dan petai bernilai RM800,000 dipercayai diseludup dari Thailand.
“Lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan. Siasatan mendapati, semua tanaman itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup tanaman tersebut ke pasaran tempatan.
Sementara itu dalam serbuan berasingan, Nik Ros Azhan berkata, anggota PGA turut menggagalkan cubaan untuk menyeludup sebanyak 2,000 anak pokok bunga pelbagai jenis antaranya Willow, Lavender, Texas Sage dan Oleander bernilai RM 1.25 juta.
“Sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di depan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua tanaman itu turut disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,” katanya.
Beliau berkata, suspek juga dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ untuk menghantar anak pokok bunga bernilai RM1.25 juta itu ke pasaran tempatan.
Tambahnya, kedua-dua kes disiasat Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE