fbpx

Penyeludup ‘ghaib’ tak sempat seludup petrol, diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan membawa petrol dan diesel untuk diseludup ke Thailand menerusi pangkalan haram Terusan, Jeram Perdah di Pasir Mas kelmarin. FOTO IHSAN PGA

PASIR MAS – Sekumpulan penyeludup lari lintang-pukang menyeberang Sungai Golok ke Thailand selepas kegiatan mereka memindahkan petrol dan diesel dari dua buah kenderaan ke dalam tong jerikin dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Terusan, Jeram Perdah di sini kelmarin.

Kegiatan itu terbongkar semasa anggota Batalion 8 PGA menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan pangkalan haram tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA melihat beberapa orang lelaki sedang memindahkan minyak dari sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero dan lori Daihatsu Delta ke dalam tong jerikin.

Menurutnya, kesemua lelaki itu bagaimanapun sempat melarikan diri dengan menaiki bot ke Thailand selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat peralatan menyedut minyak selain lebih 90 liter petrol dan 120 liter diesel ditemui di dalam tangki dua kenderaan terbabit.

“Siasatan lanjut mendapat, petrol dan diesel itu disyaki untuk diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, hasil rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI