KUALA LUMPUR – Proses sebutan pertama kes perceraian melibatkan pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego ditangguhkan pada tarikh 6 Mac depan susulan kegagalan aktor itu menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Peguam syarie mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, perkara itu berikutan pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan nota tuntutan kehadiran kepada pelakon dan penyanyi terbabit.
“Sebelum ini kami sudah dimaklumkan serahan (notis) sudah dibuat tetapi tidak sempurna (tidak berjaya).
“Anak guam saya sudah mengemukakan tuntutan cerai pada 17 Januari dan hari ini sepatutnya sebutan pertama kes.
“Jadi kes hari ini ditangguh kepada sebutan kedua pada 6 Mac depan,” katanya kepada media di mahkamah selepas prosiding pertama selesai.
Sehubungan itu, kata Nurul mahkamah menyerahkan tanggungjawab memaklumkan defendan iaitu Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkenaan tarikh sebutan kedua kepada pihaknya.
“Seharusnya penyerahan dokumen (makluman kepada Beego) dibuat oleh mahkamah.
“Tetapi disebabkan penyerahan pertama itu tidak sempurna hingga defendan tidak hadir, satu arahan kepada peguam plaintif iaitu kami untuk serahkan notis ini secara kendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berlapang dada berdepan dengan penangguhan berkenaan namun berharap urusannya dilancarkan.
“Kita cuma merancang walaupun (hasilnya) tidak dapat seperti yang diharapkan.
“Saya cuma berharap proses seterusnya berjalan dengan baik dan dapat segera diselesaikan,” ujar Linda.
Terdahulu Beego yang juga bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz menerusi perkongsian Instagram mendedahkan tidak tahu-menahu mengenai prosiding sebutan pertama kes perceraian bersama isterinya. – KOSMO! ONLINE