PETALING JAYA – Penyanyi rap popular Joe Flizzow meraih perhatian peminat selepas dia melancarkan sebuah single baharu berjudul Ciao sehingga namanya mencatat sohor kini dalam Twitter.
Lagu Ciao diterbitkan oleh penyanyi yang juga komposer Alyph bersama SonaOne dilancarkan secara rasmi pada hari ini dan tersedia dalam semua platform penstriman digital.
Menariknya, lagu berkenaan menampilkan Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak berkolaborasi dengan penyanyi rap popular Korea Selatan, Jay Park dan anggota kumpulan K-Clique, MK.
Rata-rata respons peminat melahirkan rasa teruja dengan lagu baharu Joe di samping penampilan istimewa dua nama popular seperti Jay Park dan MK.
Ramai yang berpendapat bahawa kolaborasi antara ketiga-tiga penyanyi itu cukup unik dan hebat kerana membuatkan budaya lagu hip hop semakin hangat.
“Ciao. Joe Flizzow tak main-main,” tulis seorang pengguna Twitter.
Video muzik rasmi lagu Ciao akan dilancarkan dalam YouTube tepat pukul 9 malam ini.
Sebelum ini, Joe pernah berkolaborasi dengan Jay Park menerusi lagu Twisted Dreams yang terkandung dalam album penyanyi itu, The Road Less Traveled pada tahun 2019. – K! ONLINE