fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia hanya rakan, belum jadi ahli BRICS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, Malaysia belum lagi menjadi negara anggota BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan)

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia hanya rakan dalam organisasi antara kerajaan tersebut.

“Malaysia belum menjadi ahli BRICS. Kita hanyalah rakan dalam BRICS,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung kenaikan tarif yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara BRICS.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara BRICS sekiranya blok itu mencipta mata wang baharu.

Menjawab soalan berikutnya, Tengku Zafrul menjelaskan, keberangkalian BRICS akan berjaya untuk menggantikan mata wang AS tidak akan berlaku.

Terdahulu, beliau menerangkan, Malaysia dan AS yang menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1957 mengekalkan hubungan perdagangan serta pelaburan yang harmoni dan progresif sehingga kini.

Kata beliau, bagi tahun 2024, AS merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar dengan jumlah perdagangan mencatat RM324.9 bilion iaitu bersamaan 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Katanya, eksport ke AS pula berjumlah RM198.6 bilion atau bersamaan 13.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala import dari AS mencapai RM126.3 bilion atau bersamaan 9.2 peratus daripada jumlah import Malaysia.

“Daripada segi pelaburan pula, AS antara pelabur terbesar dan sehingga kini, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan pelaburan untuk lebih 600 syarikat AS.

“Kerajaan sedang berusaha mengambil langkah proaktif mengekalkan serta mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang baik dan dinamik dengan AS.

“Ini supaya tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada dan Mexico,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI