JAKARTA – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh, manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan beberapa kenderaan di wilayah Jawa Barat, lapor portal berita Global Times semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan) di Plaza Tol Ciawi, Bogor.
Ketua Polis Trafik Bogor, Eko Prasetyo berkata, nahas tercetus apabila sebuah lori membawa muatan air mineral mengalami kegagalan brek dan merempuh beberapa kenderaan yang beratur untuk membayar tol.
“Pelanggaran tersebut merosakkan enam kenderaan, manakala tiga daripadanya hangus dijilat api.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Besar Ciawi untuk rawatan lanjut,” tambah Prasetyo.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari melaporkan bahawa tugas utama pasukannya adalah membantu dan memindahkan mangsa dengan segera.
“Fokus kami adalah membantu mangsa dan memastikan semua berjaya dipindahkan dengan selamat,” tambahnya. – AGENSI