IPOH – Sebuah kilang biskut di Gunung Rapat di sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam ekoran menyimpan 5,875 kilogram (kg) tepung gandum yang mana ia melebihi had dibenarkan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kilang berkenaan telah dilaksanakan oleh pegawai dan anggotanya kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.
Katanya, operasi itu dilaksanakan susulan pemeriksaan di beberapa buah premis di sekitar Ipoh.
“Ketika pemeriksaan dilakukan di kilang yang memproses pelbagai jenis biskut itu, ditemui sejumlah tepung gandum disimpan di dalam stornya.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang memiliki permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum dengan had kuantiti simpanan dibenarkan sebanyak 5,000kg,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, Kamalludin berkata, pemeriksaan menyeluruh mendapati kilang terbabit telah menyimpan 5,875kg tepung gandum iaitu melebihi had yang dibenarkan.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan kes telah dilaksanakan dengan menyita sebanyak 235 beg bersamaan 5,875kg tepung gandum dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,181.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan gagal mematuhi arahan yang diberikan di bawah permit dikeluarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE