KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia ditemukan rentung dalam kebakaran di Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul, di sini tengah malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.38 pagi.
“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Titiwangsa serta BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan rumah tingkat 10. Api berjaya dikawal pada pukul 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kira-kira sebanyak 90 peratus premis itu dijilat api. Seorang wanita dijumpai di dalam bilik air dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Mangsa warga Indonesia berusia dalam lingkungan 50-an. Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE