KOTA TINGGI – Kemalangan maut melibatkan sebuah treler dan pacuan empat roda di Kilometer 30.0 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pagi tadi berpunca daripada masalah lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut yang dimaklumkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 9.50 pagi berlaku di kawasan lampu isyarat Taman Sri Saujana.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan treler jenis Hino dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menghala ke arah Johor Bahru manakala pacuan empat roda Toyota Hilux dalam perjalanan dari Taman Sri Saujana menghala ke arah Kota Tinggi.
“Apabila treler sampai di simpang lampu isyarat Taman Sri Saujana, lampu isyarat tidak berfungsi dan treler dalam keadaan hendak bergerak terus, tiba Toyota Hilux yang datang dari simpang Taman Sri Saujana telah keluar dari simpang.
“Ini menyebabkan treler tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sebelah kanan Toyota Hilux lalu trak pikap itu terbabas melanggar tiang lampu yang berada di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, pemandu Toyota Hilux, Jelambai anak Rirong, 51, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, dalam Toyota Hilux terdapat empat penumpang iaitu seorang wanita berusia 45 tahun, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Tambahnya, empat penumpang Toyota Hilux dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan.
“Semua penumpang belakang adalah anak adalah anak kepada penumpang hadapan. Penumpang hadapan merupakan rakan pemandu yang maut,” katanya. – KOSMO! ONLINE