ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul trofi Liga Malaysia selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia FC (PDRM FC) 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan yang mengutip 55 mata daripada 19 perlawanan, hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk sah bergelar juara Liga Super 2024/2025, menjuarainya buat 11 musim berturut-turut.
Bermula sepak mula, anak buah Hector Bidoglio beraksi garang melancarkan serangan mencari ruang untuk menembusi ‘roadblock’ skuad kendalian P. Maniam.
Sang Saka Biru yang turun dengan formasi 5-3-2 bermain secara komak di kawasan sendiri cuba menutup pergerakan pasukan tuan rumah yang bertubi-tubi mencari ruang untuk menjaringkan gol pembukaan.
Kekebalan benteng The Cop tidak bertahan lama setelah JDT berjaya meruntuhkan benteng ampuh lawan apabila Heberty Fernandes mengumpan bola kepada Jorge Obregon yang melepaskan rembatan lerek melepasi kawalan penjaga gol, Robson Rendy Rining pada minit ke-13.
Ketika pasukan pelawat cuba mengatur pergerakan dan menyaingi JDT, mereka dibolosi sekali lagi berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz ditanduk Jordi Amat ke penjuru gawang dan disudahkan Corbin Ong yang menanduk masuk ke gol lawan.
Romel Morales, Mohamadou Sumareh dan Nazmi Faiz Mansor yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua bagi terus menghambat pasukan lawan yang dilihat hilang punca.
Ketika permainan berbaki 10 minit, Jese yang merampas bola di zon sendiri dan membuat larian solo sebelum membuat umpanan kepada Morales yang menjaringkan gol keempat JDT, menambah derita buat PDRM FC.
Skuad Harimau Selatan terus garang melancarkan serangan bagaimanapun tidak ada pertambahan gol berjaya dihasilkan ke wisel penamat.-KOSMO! ONLINE