PETALING JAYA – Misi pasukan Terengganu FC (TFC) untuk melakar sejarah mara ke pentas separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) tidak kesampaian selepas tewas 3-4 kepada kelab Thailand, BG Pathum United sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Pathum Thani itu, skuad TFC kendalian Badrul Afzan Razali membariskan kesebelasan terbaik dengan Ismahil Akinade, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mengetuai jentera serangan.
Namun, kedua-dua pasukan dilihat cukup kebal pada babak pertama dengan gol pembukaan hanya dijaringkan oleh Akhyar Rashid pada minit ke-66.
Tersentak dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah menggandakan asakan dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi penyudah pemain import Brazil, Raniel pada minit ke-71,
Raniel terus menjadi ancaman buat pasukan pelawat apabila meledak gol kedua peribadi berselang lima minit kemudian.
Chanathip Songkrasin membuat umpanan tepat buat Gakuto Notsuda untuk menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-83 sebelum penyerang sensasi Singapura, Ilhan Fandi menambah derita TFC pada minit ke-87.
TFC cuba untuk bangkit apabila Safawi meledak dua gol pada masa kecederaan tetapi keputusan 3-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan TFC berada di kedudukan keempat Kumpulan A dengan mengutip tujuh mata manakala BG Pathum mara ke separuh akhir dengan status selaku juara kumpulan apabila meraih 11 mata. – KOSMO! ONLINE