PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 350 keluarga B40 di sekitar Kedah dan Perlis, hari ini.
Sejumlah RM52,500 diperuntukan bagi program tersebut dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM150.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datin Faizah Ariffin berkata, YBR sentiasa cuba memperluas agenda membantu masyarakat yang memerlukan.
“Bantuan difokuskan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dikalangan keluarga B40, fakir miskin dan ibu tunggal.
“YBR cakna dengan kekangan yang dihadapi dan berharap bantuan ini menjadi medium dalam membantu keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Ihsan Madani, yang diadakan di Hotel Sri Malaysia Kangar, Perlis yang turut dihadiri Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000.00 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dari kalangan B40. – KOSMO! ONLINE