PUCHONG – Seramai 29 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram ditahan polis menerusi Ops Dadu di Taman Kinrara, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis A.A Anbalagan berkata, suspek terdiri daripada 20 warga tempatan dan sembilan warga asing.
Menurutnya, polis turut mengambil tindakan pemotongan bekalan eletrik ke atas 10 premis judi haram mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Hasil siasatan mendapati ada premis yang melakukan penyambungan elektrik secara haram, dan perkara ini dalam siasatan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pemotongan elektrik, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, lebih RM4,345 wang tunai serta 105 unit tablet dan tujuh telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian telah dirampas dalam serbuan tersebut.
Katanya, selain tindakan pemotongan elektrik, polis turut menampal notis sitaan di bawah Seksyen 15 terhadap premis yang disyaki telah beroperasi selama sebulan.
“Ada premis yang dimiliki oleh individu sama tetapi didaftarkan atas nama berbeza, menunjukkan kemungkinan wujudnya sindiket perjudian terancang.
“Selain itu, terdapat juga premis yang sudah diserbu beberapa kali tetapi masuh beroperasi semula dan ini menunjukkan mereka cuba mengelak tindakan pihak berkuasa,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) menerusi Ops Dadu yang dilaksana bermula 16 Julai 2023 sehingga 19 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE