MELAKA – Kehadiran pengunjung ke pasar terapung di Dataran Pengkalan Rama di sini merosot hampir 20 peratus ekoran penutupan sementara laluan utama bagi kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, projek itu dilaksanakan kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Beliau berkata, sejak pembukaan rasmi sehingga semalam, seramai 433,215 orang berkunjung ke pasar terapung dan Windmill Pink Market.
“Isu pengurangan pengunjung adalah disebabkan penutupan sementara laluan utama pengunjung ke kawasan tersebut. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak peniaga.
“PPSPM juga mengadakan perbincangan dengan JPS untuk membuat laluan sementara dan dijangka siap selewat-lewatnya 7 Februari. Ini bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, satu video menunjukkan suasana pasar terapung yang suram susulan tidak ramai peniaga yang membuka gerai jualan tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. – KOSMO! ONLINE