fbpx

‘Bukan tak bersyukur, tapi kos terlalu membebankan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawah berhimpun secara aman bagi menuntut kenaikan harga lantai belian padi RM1,800 di Kampung Lana Bulu, Jerlun kelmarin.

JERLUN – Jaminan kerajaan untuk mengumumkan harga lantai belian padi baharu pada minggu depan belum memberi kele­gaan sepenuhnya kepada golo­ngan petani yang mengusahakan sawah di negeri ini.

Rata-rata mereka mendakwa, setakat ini belum ada jaminan harga lantai tersebut akan dinaik­kan hingga paras yang dirasakan sesuai iaitu RM1,800 per tan.

Menurut Ahli Jemaah Pengarah Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Aswadil Khairi Che Omar, golongan petani amat berharap agar kerajaan menunaikan permintaan mereka kerana nilai RM1,800 itu dilihat paling munasabah dalam keadaan semasa.

“Kalau dapat diumumkan harga lantai itu pada paras RM1,800, maka golongan pesawah akan rasa terbela dan boleh menampung kehidupan dengan lebih selesa. Pada musim menuai ketika ini, khabarnya ada kilang-kilang yang telah membuat pembelian pada paras RM1,500 berbanding harga lantai semasa RM1,300.

“Jumlah RM1,500 itu pun sebenarnya ‘memenatkan’ buat kami. Dengan nilai itu, kami jangkakan pendapatan pesawah hanyalah kira-kira RM200 sebulan berikutan peningkatan kos, selain penurunan hasil disebabkan pelbagai penyakit padi ke­belakangan ini.

“Bukan kami tak bersyukur dengan nilai RM1,500, tetapi kos yang ditanggung selama ini terlalu membebankan. Sudahlah segala input pertanian naik harga, kami ditekan pula dengan peningkatan kos jentera berikutan penyelarasan subsidi diesel sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Aman Menuntut Kenaikan Harga Lantai Padi RM1,800 di Kampung Lana Bulu, di sini kelmarin.

Dalam sidang Dewan Rak­yat kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan dijangka me­ngumumkan kenaikan harga lantai belian padi minggu depan.

Sementara itu, Pengerusi PPK A2 Kodiang, Mohd. Shukri Samsuddin, 60, berkata, kerajaan ketika ini dilihat tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga beras tempatan yang kekal pada kadar RM2.60 dan tidak pernah dikaji sejak 17 tahun lalu.

“Ketika ini golongan pesawah sendiri sudah tidak dapat membeli beras pada harga itu, malah terpaksa membelinya pada harga mahal, sama seperti rakyat lain.

“Selama ini pun kita memang sudah beli beras pada harga le­bih mahal kerana ‘permainan’ pihak tertentu yang mencampurkan beras tempatan dengan import untuk dijual pada harga lebih tinggi. Kami golongan pesawah ini pula terus tertekan kerana kos kian meningkat.

“Kalau tak mahu harga beras naik, beri subsidi secara terus kepada pesawah. Sebagai contoh, tetapkan harga lantai belian padi pada RM1,400 kemudian beri tambahan subsidi RM400 kepada kami agar nasib para petani dapat dibela,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI