fbpx

K2

Lubuk lampam jadi tumpuan pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE HASMA menunjukkan dua bekas dipenuhi ikan lampam yang berjaya dipancingnya.

TERUSAN Besar Selatan di Kampung Batu 18 ½, Guar Chempedak dalam daerah Yan, Kedah menjadi tumpuan pemancing ikan darat ekoran pertambahan populasi ikan lampam di terusan terbabit setiap kali tiba musim tengkujuh.

Terusan Besar Selatan merupakan terusan di bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menjadi sumber pengairan kepada tanaman padi di kawasan sekitarnya.

Ia biasanya menjadi tumpuan penggemar ikan darat serta pengusaha ikan pekasam setiap kali tiba musim tengkujuh kerana berlaku kenaikan paras air sungai yang mendorong kepada penghijrahan ikan lampam ke kawasan terbabit.

Seorang pemancing, Che Hasma Yusuf, 60, dari Kampung Betong, Jeneri berkata, dia sanggup memandu sejauh hampir 50 kilometer setiap hari untuk memancing ikan lampam di terusan itu bagi mendapatkan bekalan untuk dibuat pekasam.

Dia yang mengusahakan perniagaan ikan pekasam sejak 10 tahun lalu berkata, tidak kisah memandu jauh kerana di situ terdapat banyak ikan lampam.

“Pemancing anggap kawasan ini sebagai lubuk ikan lampam sejak beberapa tahun lalu kerana populasinya meningkat setiap kali musim tengkujuh.

“Jadi, tidak hairanlah jika ada pemancing yang sanggup berkampung di sini demi mendapatkan ikan lampam yang banyak,” ujarnya.

 

 

TERUSAN Besar Selatan di Kampung Batu 18 ½, Guar Chempedak menjadi tumpuan para pemancing untuk mendapatkan ikan lampam yang banyak terdapat di situ ketika musim tengkujuh.

Katanya, dia akan datang memancing di situ seawal pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.

“Hasil tangkapan tidak menentu dan bergantung kepada rezeki, namun kebiasaanya saya boleh membawa pulang kira-kira 10 hingga 20 kilogram (kg) ikan lampam sehari bergantung kepada rezeki,” jelasnya.

Seorang lagi pemancing yang juga pe­ngusaha ikan pekasam, Rohana Mohd. Isa, 49, dari Sungai Lalang berkata, dia akan datang seawal pukul 9 pagi hingga 5.30 petang untuk memancing di kawasan itu.

Katanya, ini kali pertama dia datang memancing di terusan tersebut dan tidak menyangka akan mendapat hasil tangkapan yang banyak.

 

ROHANA menunjukkan ikan lampam bersaiz agak besar yang diperolehnya.

 

“Ini kali pertama saya cuba meman­cing di sini selepas beberapa orang kenalan memberitahu di sini lubuk ikan lampam,” jelasnya.

Katanya, dia memancing menggunakan dedak untuk menarik ikan supaya datang ke arahnya. Dia kemudian menggunakan umpan tepung gandum yang dibancuh sendiri untuk dile­takkan pada mata kail.

“Saya akan tabur dedak pada permukaan air untuk menarik ikan supaya datang dekat sambil melepaskan joran.

“Alhamdullilah, rezeki musim tengkujuh, saya sudah memperoleh kira-kira 50kg ikan selepas dua hari memancing di sini.

“Hasil tangkapan ini akan menjadi sumber rezeki saya sebagai pengusaha ikan pekasam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI