KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia kekal seperti negara-negara Islam lain berhubung rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan ke negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia sedang meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden AS, Donald Trump itu sebelum memberi kupasan lanjut.
“Kita sedang teliti kenyataan dahulu dan kemudian kita akan kupas. Gaza yang penting pendirian Malaysia kekal sepertimana negara-negara Islam lain, yang lain kita akan ulas kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Buku A Malik Bennabi Reader dan “International Institute Of Future Studies” (IIFS) di ibu negara hari ini.
Semalam, Trump berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Beliau mendedahkan rancangannya itu tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kumpulan Hamas menegaskan pendirian mereka untuk menentang sebarang cadangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa dari Gaza.
Liga Arab dalam satu kenyataan turut menolak idea berkenaan dan memberi amaran terhadap cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
Kenyataan itu menyebut, pemindahan dan pengusiran rakyat dari tanah air secara paksa dianggap sebagai pembersihan etnik. – KOSMO! ONLINE