KUALA SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam 3.6 meter (m) di Jalan Masjid Kampung Sungai Tengi, Tanjung Karang di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 32 tahun ditemukan kira-kira pukul 3 petang pada jarak 100m selepas hanyut dari lokasi kenderaan terbabas.
Pencarian mangsa oleh anggota bomba dikatakan mengambil masa lebih 8 jam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihak menerima panggilan pukul 5.56 pagi dan seramai 13 anggota termasuk Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi.
Kesemua mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan melibatkan kereta Hyundai Accent yang terbabas ke dalam parit. Berdasarkan keterangan saksi terdapat seorang lelaki di dalam kereta semasa kejadian,” katanya hari ini.
Beliau menambah, kereta mangsa dibawa naik pada pukul 8.55 pagi, namun mangsa tiada di dalamnya.
Usaha pencarian dilakukan oleh unit PPDA sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira 100m di kawasan timbunan rumput. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang. – KOSMO! ONLINE