LONDON – Walaupun sudah memiliki lambakan penjaga gol, namun Chelsea masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa ditampilkan Robert Sanchez dan Filip Jorgensen sepanjang saingan musim ini.
Justeru, The Blues sedia untuk meneroka pasaran perpindahan pemain bagi membawa masuk penjaga gawang baharu dengan pemain Borussia Dortmund, Gregor Kobel menjadi sasaran utama pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan Kobel hanya akan meninggalkan Signal Iduna Park sekiranya Dortmund gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Selain itu, Dortmund juga dikatakan tidak bersedia untuk melepaskan aset terbaik mereka melainkan Chelsea sedia menawarkan yuran perpindahan bernilai €70 juta (RM322.07 juta) bagi mendapatkan khidmat Kobel.
Dalam pada itu, keputusan Dortmund mendapatkan khidmat penjaga gol Ajax, Diant Ramaj sebelum ini menjadi petanda bahawa mereka sudah bersedia untuk melepaskan Kobel menyertai Chelsea musim depan.
Sebagai rekod, posisi penjaga gol menjadi kelemahan terbesar buat Chelsea musim ini apabila sebahagian besar gol yang dilepaskan berpunca daripada kesilapan sendiri, terutamanya Sanchez.
Keadaan itu menyebabkan peminat-peminat The Blues mula meluahkan rasa tidak puas hati selain mencemuh Sanchez selain mendesak kelab supaya meletakkan penjaga gol berkenaan di bangku simpanan. – AGENSI