LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot berharap barisan pemain dapat mengekalkan momentum cemerlang dalam usaha mara ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menewaskan Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Reds tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di tempat lawan pada bulan lalu dan kini mengharapkan ‘aura’ Anfield untuk bangkit pada baki 90 minit perlawanan.
Menurut Slot, Spurs mempunyai potensi untuk mengancam misi pasukannya yang kini dalam misi memburu gelaran quadruple selepas turut bersaing hebat dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala FA musim ini.
“Saya jangka dua pasukan yang bakal mempamerkan corak permainan terbuka dengan mentaliti menyerang sepanjang perlawanan.
“Kita telah menunjukkan kualiti yang ada pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, tetapi tidak bernasib baik apabila tewas dan kita sudah belajar daripada kekalahan tersebut.
“Sudah tentu segalanya masih terbuka dan kita masih ada peluang untuk bangkit dengan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.
“Mengenai kesebelasan utama, saya belum buat keputusan, tetapi mungkin akan turunkan pemain terbaik bagi melunaskan misi ke pentas final,” katanya.
Sementara itu, tonggak pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate berharap semua pemain mencurahkan sepenuh jiwa di atas padang bagi menjejakkan kaki ke pentas Wembley sekali lagi.
“Kita telah memulakan saingan dengan cemerlang dan kini kita sudah mengharungi perjalanan separuh musim. Pasukan masih lagi dapat bersaing dalam empat kejohanan penting dan kita perlu berikan fokus sepenuhnya,” katanya.
Liverpool merupakan juara bertahan Piala EFL selepas menewaskan Chelsea menerusi keputusan 1-0 pada saingan tahun lalu. – AGENSI