IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pembantu rumah yang mendakwa dirogol bekas Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Kiong sebenarnya memberi keterangan palsu kerana mahu pulang ke Indonesia.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh ‘mangsa’ yangberusia 24 tahun kepada Pathurrahman, 58, yang juga peguam beralamat di Sumbawa, Indonesia.
Pathurrahman yang juga saksi pembelaan tambahan pertama berkata, wanita itu datang ke pejabatnya pada 20 Mei 2024 untuk mendapatkan nasihat undang-undang dan memaklumkan dia bekerja sebagai pembantu rumah Choo Kiong.
Jelasnya, bekas pembantu rumah itu mempunyai kontrak kerja selama tiga tahun dan bekerja di rumah keluarga Choo Kiong sejak 7 Mei 2019. Perkhidmatan wanita itu sepatutnya tamat pada Mei 2021.
Wanita itu bagaimanapun mahu menamatkan kontraknya lebih awal, namun dihalang keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh tersebut.
“Alasan dia membuat atau memberi keterangan palsu adalah kerana hendak pulang ke rumahnya di Indonesia,” kata peguam itu melalui penyataan bertulis yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE