IPOH – Polis menahan dua lelaki dan tiga wanita tempatan disyaki mencetak dan menggunakan wang palsu di beberapa kawasan di Perak.
Mereka berlima dikatakan menggunakan wang palsu tersebut untuk membeli barangan seperti pakaian, minuman, mengisi petrol, menambah nilai Touch ‘n Go dan tambah nilai telefon.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pada 29 Januari lalu, pihaknya menerima tiga laporan daripada pemilik premis pakaian dan stesen minyak di Kerian berkaitan kes penggunaan wang palsu.
Katanya, pada 3 Februari, kira-kira pukul 1.30 pagi, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah inap di Pusing dan menahan kesemua suspek yang berusia 26 hingga 36 tahun.
Dalam serbuan itu, polis merampas tiga keping wang kertas RM100, sekeping RM20, enam telefon bimbit, komputer riba, kertas A4, gunting, beberapa helai pakaian dan kenderaan menggunakan nombor plat palsu.
“Sindiket ini juga menggunakan wang palsu bagi tujuan pembelian telefon bimbit yang ditawarkan dalam media sosial.
“Siasatan turut mendapati sindiket itu terlibat dalam sembilan kes penggunaan wang palsu di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Kuala Kangsar dan Kerian dengan kesemua kes dilaporkan pada 2024 dan tahun ini” katanya. – KOSMO! ONLINE