KUALA LUMPUR – Beberapa individu dipanggil berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki berkaitan perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketika ini siasatan dalaman berhubung perkara tersebut masih diteruskan.
Katanya, satu unit siasatan ditubuhkan diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif.
“(Ketika ini) kita masih dalam (peringkat) siasatan dalaman, kita telah wujudkan satu unit siasatan (diketuai) Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Kita akan memanggil kesemua yang terlibat (termasuk Afdlin). Insya-Allah laporan penuh akan diberikan nanti,” katanya ketika dtemui selepas Majlis Perasmian Community’s Barbershop di Perumahan Awam Seri Perlis 2 di sini, hari ini.
Terdahulu, Maimunah dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL. – KOSMO! ONLINE