KUALA SELANGOR – “Saya mahu sekolahkan anak, lagipun mahu puasa dan raya.”
Demikian rayuan yang dibuat seorang ‘runner’ Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Radzi Azman, 32 yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu untuk lelongan kenderaan jabatan itu.
Sebelum itu, Muhammad Radzi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan curang mendorong seorang lelaki berusia 43 tahun menyerahkan wang RM8,050 yang dimasukkan dalam akaun tertuduh bagi urusan pembelian kenderaan lelong JPJ.
Kesalahan dilakukan antara 11 September dan 3 Oktober lalu di Batu 13 ½, Lorong Teratai, Kampung Sungai Serdang, Kapar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M. Mariapan memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai ‘runner’ atau orang tengah dengan pendapatan RM900 selain menanggung isteri dan seorang anaknya.
Muhammad Radzi membuat tambahan mitigasi menyatakan jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan itu tidak benar.
“Saya telah pulangkan balik RM7,800. Bapa saya tidak cukup duit untuk jamin dan simpanan saya cuma ada RM1,000,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun menyatakan hanya hari ini ditetapkan untuk proses jaminan dan segala yang berkaitan boleh dibangkitkan pada hari perbicaraan nanti.
Muhammad Radzi dibenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan.
Ini merupakan kali keempat Muhammad Radzi didakwa di mahkamah bermula pada 16 Januari lalu.
Lelaki itu sebelum ini didenda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 masing-masing di Mahkamah Klang dan Gombak.
Namun, Muhammad Radzi mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Klang pada 24 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE