fbpx

Prosedur Lembaga Pengampunan ikut Perlembagaan, undang-undang sedia ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua prosedur dan urusan membabitkan Lembaga Pengampunan telah dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mempunyai kuasa memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah bagi semua kes dan kesalahan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, manakala bagi kes dan kesalahan di negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang Dipertua Negeri masing-masing.

“Selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selaku urusetia Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mengemukakan salinan perintah yang diluluskan Peguam Negara kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk ditandatangani.

“Seterusnya, perintah itu akan dikemukakan kepada Istana Negara untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Akhirnya, salinan perintah yang diperkenan baginda akan dikemukakan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara, seterusnya kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk melaksanakan perintah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung prosedur dan proses untuk kerajaan melaksanakan titah daripada Yang di-Pertuan Agong, khususnya membabitkan Lembaga Pengampunan dan langkah bagi memastikan tiada titah disorok daripada pengetahuan umum.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya kerajaan menyembunyikan dokumen berkaitan Titah Adendum membabitkan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan, dokumen itu dihantar kepada Pejabat Peguam Negara dan bukannya kepada beliau atau mana-mana ahli dalam Lembaga Pengampunan.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI