Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Rakyat Malaysia disaran agar berganding bahu membendung wabak Covid-19 di negara ini serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, impak Covid-19 itu bukan sahaja bahaya untuk kesihatan awam tetapi juga ekonomi negara.
Katanya, rakyat perlu mematuhi SOP untuk membantu kerajaan serta petugas barisan hadapan yang dilihat masih tidak berehat membendung jangkitan wabak itu.
“Kalau cepat kita kurangkan jangkitan ini, ekonomi kita akan pulih semula.
“Kalau kita lihat kepada jururawat dan doktor, mereka bekerja siang malam tanpa berehat.
“Kita nak bagi masa untuk mereka berehat dan tempat yang disediakan untuk merawat orang sakit juga terhad,” katanya kepada pemberita selepas melawat Masjid Razaleigh model Masjidil Haram di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.
Mengulas berkenaan pembukaan masjid yang menyerupai reka bentuk sama dengan Masjidil Haram itu, Tengku Razaleigh berkata, ia akan dibuka kepada orang ramai apabila pandemik Covid-19 berakhir.
Beliau berkata, masjid bernilai RM32 juta itu sudah siap dibina tetapi kegunaan untuk aktiviti keagamaan terpaksa ditangguhkan.
“Kita bercadang untuk membuka masjid ini pada Hari Raya Aidiladha namun, masih ada banyak larangan dalam Covid-19. Jadi, baik kita tangguh sehingga larangan itu ditarik balik.
“Tiada majlis perasmian masjid ini apabila ia dibuka. Rakyat boleh datang apabila masjid ini dibuka nanti,” katanya. – K! ONLINE