WASHINGTON – Presiden Donald Trump membuat cadangan agar Amerika Syarikat (AS) ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi rundingan penting mengenai gencatan senjata dengan Hamas.
Trump juga meningkatkan gesaannya supaya rakyat Palestin berpindah keluar dari wilayah yang dilanda perang itu ke negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan. Ia tetap disuarakan meskipun rakyat Palestin dan kedua-dua negara berkenaan menolak mentah-mentah cadangan Trump.
“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami mempunyai rancangan ke atasnya.
“Kami akan memilikinya (Gaza),” kata Trump pada sidang akhbar bersama Netanyahu di White House.
Trump berkata, AS akan menghapuskan bom yang tidak meletup di Gaza, meratakan dan mengalihkan bangunan yang musnah.
Tambah beliau, AS juga mahu mewujudkan pembangunan ekonomi yang akan membekalkan bilangan pekerjaan dan perumahan yang tidak terhad untuk penduduk wilayah Palestin itu.
Bagaimanapun, Trump disifatkan mencadangkan bahawa bukan rakyat Palestin yang akan kembali ke Gaza.
“Ia tidak sepatutnya melalui proses pembinaan semula dan pendudukan oleh orang sama yang telah benar-benar berdiri di sana, memperjuangkannya, tinggal di sana, mati di sana dan menjalani kehidupan yang sengsara di sana,” katanya.
Beliau berkata, dua juta penduduk Gaza sebaliknya perlu pergi ke negara lain yang berkepentingan dengan hati kemanusiaan.
Sementara itu, Netanyahu memuji Trump sebagai ‘rakan terbaik Israel pernah ada.’ – AFP