fbpx

Vios terbakar: Suspek bakar kereta bini ditahan di Batu Pahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video kejadian Toyota Vios terbakar dalam kejadian di Jalan Tebrau, Johor Bahru malam Ahad lalu. Foto IHSAN COMMUNITY RODA JOHOR

JOHOR BAHRU – Suspek yang membakar kereta Toyota Vios dalam kejadian di Jalan Tebrau di sini malam Ahad lalu berjaya diberkas pasukan polis tengah malam hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 12.20 tengah malam.

Katanya, lelaki terbabit dicekup disyaki melarikan diri dan berada di Bukit Pasir, Batu Pahat.

“Bertindak atas maklumat pada 5 Februari 2025 pada pukul 12.20 tengah malam pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Batu Pahat telah menjalankan dua serbuan di lokasi iaitu Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.

“Suspek berjaya diberkas di Bukit Pasir dan polis merampas Toyota Vellfire yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, permohonan reman akan dibuat pada pagi ini.

Terdahulu, Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan perselisihan faham dalam rumah tangga menjadi punca kejadian sebuah kereta Toyota Vios disimbah petrol sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta di sini.

Perbuatan khianat itu dilakukan sendiri lelaki yang juga suami kepada pemilik kereta terbabit sehingga wanita itu mengalami kerugian hampir RM90,000.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di jalan tersebut, kejadian berlaku pada pukul 10.20 malam.

Suspek tiba-tiba muncul dengan menaiki Toyota Vellfire menyekat kereta yang dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.

Lelaki bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum lari dengan Toyota Vellfire.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI