KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhasrat untuk melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang akan ditadbir oleh Perkeso dalam memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, SKBBK meliputi kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.
Jelas beliau, skim yang dicadangkan akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia di luar wak tu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
“Kesuma cakna dengan perubahan lanskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia kesan daripada perkembangan digitalisasi.
“Pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama bagi pekerja yang terlibat dengan FWA.
“Ini kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat serta waktu kerja seperti kelaziman,” jelas beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam -BN) yang ingin tahu apakah mekanisme pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu terjejas kemalangan di luar pekerjaan dan sejauh manakah skim ini dapat menangani cabaran risiko susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan di Malaysia.
Dalam pada itu jelas Abdul Rahman, secara prinsipnya, Mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar kementeriannya melaksanakan SKBBK.
“Kesuma melalui Perkeso juga telah mengadakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan cadangan pelaksanaan SKBBK bersama wakil dari pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan PengilangPengilang Malaysia (FMM).
“Selain itu turut diadakan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.
“Kesuma juga menjangkakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi skim ini akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.