fbpx

Penunggang motosikal maut, terlanggar tayar ganti Hilux ‘terbang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan nahas membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di arah bertentangan di kilometer 232.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, (arah utara), di Rembau, awal pagi tadi. FOTO/ IHSAN PEMBACA

REMBAU – Seorang mekanik maut selepas terlanggar tayar ganti trak pikap jenis Toyota Hilux dalam kemalangan di Kilometer 232.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Pedas di sini tengah malam tadi.

Kemalangan pada pukul 12.20 tengah malam membabitkan lima buah kenderaan itu turut menyebabkan empat mangsa lain cedera.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kematian Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, yang beralamat di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor disahkan oleh pasukan paramedik di lokasi tersebut.

Katanya, lima kenderaan terlibat adalah sebuah bas, lori jenis Hino membawa muatan habuk kayu, Toyota Hilux, kereta BMW dan motosikal Honda CBR.

“Siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Setibanya di lokasi, bas itu melanggar  belakang lori yang berada di lorong kiri.

“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan. Toyota Hilux dan BMW yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori tersebut.

“Selepas perlanggaran itu, tayar ganti Toyota Hilux tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar motosikal yang bergerak di lorong kecemasan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rembau di sini. Pemandu bas pula dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka. Mayat penunggang motosikal dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Jelasnya, punca kejadian apabila bas melanggar belakang lori. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI