SHAH ALAM – Teknik janaan imej tiga dimensi (3D) digunakan bagi mendapatkan gambaran kebarangkalian yang berlaku sehingga menyebabkan kematian mendiang Teo Beng Hock.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia dilakukan menerusi mesin 3D Scanner For Crime Scene Reconstruction dan sebuah dron untuk membina semula lokasi kejadian seperti 15 tahun lalu.
Katanya, pihaknya juga telah meminta bantuan beberapa anggota bomba untuk melakonkan semula kebarangkalian yang mungkin dilakukan individu lain terhadap Beng Hock atau yang dibuat Beng Hock sendiri.
“Anggota bomba yang mempunyai ketinggian lebih kurang sama dengan mendiang untuk melakonkan semula kebarangkalian situasi seperti terjun sendiri atau dipaksa terjun dan sebagainya daripada tingkap (stor itu).
“Ini adalah ujian untuk memuaskan hati (pasukan penyiasat) bahawa sesebuah tindakan boleh berlaku dalam situasi yang berbeza,” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih sejam bagi melihat sendiri siasatan anggota forensik terhadap kes tersebut di bangunan Plaza Masalam di sini.
Kata Mohd. Shuhaily, tempoh masa antara satu atau dua minggu diperlukan bagi mendapatkan keputusan hasil siasatan hari ini.
Jelasnya, lokasi kejadian yang dahulunya sebuah pejabat telah menjadi stor penyimpanan kedai perabot di pusat beli-belah itu
“Anggota saya berada di lokasi sejak pukul 10 pagi untuk membuat kerja siasatan di lokasi kejadian hari ini.
“Kesemua imej ini (dari 3D scanner dan dron) akan dijanakan bagi memberikan gambaran bangunan (Plaza Masalam) dan lokasi kejadian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, seramai lima saksi lama kes berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan semula berkaitannya namun enggan mendedahkan butiran saksi tersebut. .
Pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan kes kematian mendiang dalam tempoh enam bulan.