IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa sekitar tiga jam bagi menjalankan operasi nyahcemar berikutan kebocoran gas ammonia di sebuah kilang memproses ais di Kawasan Perindustrian Seri Rapat, Simpang Pulai di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kebocoran itu diterima pada pukul 1 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai segera diatur gerak ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi itu turut dibantu oleh anggota dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketua operasi mendapati bau tersebut berpunca dari sebuah kilang ais. Tindakan pengungsian bangunan segera dijalankan dengan anggota memasang sawar-sawar sejauh 100 meter dari bangunan.
“Berdasarkan tindakan pengesanan oleh Hazmat, didapati bacaan kali pertama menunjukkan gas ammonia pada paras 5PPM (partikel per sejuta),” katanya di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kebocoran itu berlaku di salah satu hos bertekanan tinggi namun punca kebocoran masih belum diketahui.
“Kawasan itu disahkan selamat empat individu termasuk majikan yang berada di dalam premis dilaporkan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE