PETALING JAYA – Penyanyi Haqiem Rusli memulakan rejim diet selama 30 hari dengan mengamalkan pemakanan sihat tanpa minyak, gula dan karbo.
Haqiem, 23, memulakan diet berkenaan sejak semalam dengan mengambil makanan seperti daging ayam dan sayuran hijau yang dimasak sendiri.
“Hari pertama, diet. Tiada lagi gula, biskut, makanan segera dan yang kurang sihat,” tulisnya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Mimpi itu menjelaskan tindakannya mengamalkan makanan sihat disebabkan sekarang dia sedang berjinak-jinak melakukan senaman.
“Bagi yang bertanya saya diet ke, sebenarnya bukanlah diet sangat pun, cuma lebih kepada menjaga pemakanan sahaja.
“Sebab saya sekarang sedang bersenam untuk dapatkan badan yang sihat. Tapi bukan yang sado besar sangat, saya tidak suka. Sedang-sedang elok seperti model,” katanya.
Tambah pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu lagi, dia mula menjaga pemakanan sihat demi kesihatan dirinya selain bagus untuk nyanyian. – K! ONLINE