KUALA LUMPUR – Tinggal empat hari lagi, tiket konsert Hitam Manis menampilkan penyanyi Datuk Hattan, Hazama dan Black yang akan berlangsung Sabtu ini di Plenary Hall, KLCC laris terjual.
Menurut Hattan, mereka bertiga tidak menyangka tiket termahal berharga RM988 dan RM688 habis terjual terlebih dahulu.
“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan, kami tidak sangka tiket paling mahal yang akan ‘sold out’ terlebih dahulu.
“Setakat apa yang saya tahu, tiket hanya berbaki beberapa keping sahaja lagi. Jika ada peminat yang ingin hadir menonton konsert kami masih boleh membeli tiket,”katanya.
Hattan berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan konsert yang berlangsung di Studio Royale Blackline di sini, hari ini.
Selain itu, ditanya tentang persiapan, Hattan mengakui berdebar memandangkan ini merupakan konsert pertama melibatkan mereka bertiga.
“Saya gementar juga sebab konsert ini lain sikit berbanding konsert sebelum ini, lagu-lagu yang didendangkan semua boleh bernostalgia dan boleh dinyanyikan bersama.
“Kami bertiga ada keserasian, memang boleh sekepala. Kami rasa seronok bergandingan bersama apa lagi untuk memberi sebuah persembahan yang menghiburkan kepada penonton,”katanya.
Dalam pada itu, Black pula berkata, dia teruja dapat beraksi dengan penyanyi legenda seperti Hattan menerusi konsert ini.
“Saya rasa ini satu peluang yang sangat baik untuk saya sebagai penyanyi generasi baharu. Memang dulu saya pernah sepentas dengannya, tetapi ketika itu saya masih penyanyi baharu dan tidak menyanyi sebaik hari ini.
“Saya rasa kali ini persembahan dan vokal lebih matang dan saya akan gunakan peluang ini untuk memberikan satu pengalaman persembahan nyanyian terbaik buat peminat dan penonton,”katanya.
Hazama pula mengakui begitu teruja dapat sepentas dengan sifunya dalam bidang seni.
“Ramai yang tidak tahu Datuk Hattan adalah pengkritik nombor satu saya. Jika ada apa-apa yang berlaku, dia orang pertama yang akan hubungi saya.
“Beliau juga menjadi rujukan saya dalam banyak perkara. Jadi, apabila dapat berkongsi pentas dalam sebuah konsert memang seronok dan saya tidak sabar untuk bertemu peminat,” ujar Hazama – KOSMO! ONLINE