SHAH ALAM – Bukan mudah gelap mata, penyampai radio Sharifah Shahirah menganggap sesetengah selebriti terpedaya dengan tawaran syarikat scammer disebabkan gagal memahami kontrak.
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, artis bukan tidak bijak namun pembabitan selebriti lain membuatkan mereka yakin menerima sesuatu projek termasuk sebagai duta tanpa melakukan semakan tambahan.
“Sebelum mempersetujui sebarang undangan atau tawaran kebiasaannya memang kita siasat latar belakang syarikat terutama yang membabitkan kontrak besar.
“Artis bukan tidak bijak, segala-galanya juga diperincikan malah mempunyai kontrak, cuma masalahnya macam saya yang tidak mempunyai pengurus ada kalanya tanda tangan sahaja perjanjian sedangkan tidak begitu faham butiran dalam kontrak.
“Paling mudah, kami juga terus bersetuju dan tidak fikir panjang apabila melihat adanya pembabitan selebriti lain terutama berstatus ‘datuk’ kerana menunjukkan syarikat itu legit,” katanya selepas majlis pembukaan cawangan keempat Kays Steak & Lobster di Elmina, di sini, hari ini.
Bagaimanapun ujar pelakon terbabit, setakat ini dia belum pernah merasa tawaran bernilai ratusan ribu ringgit bahkan secara berseloroh mengatakan dia hanyalah artis gred D.
Pada masa sama, pelakon terbabit mengakui bertuah apabila mendapat tawaran kerja menerusi ejen yang dilantik syarikat sekali gus lebih meyakinkan kerana kontrak perlu melalui pihak terbabit.
“Tawaran yang saya terima kebanyakannya adalah produk makanan keluarga, setakat ini belum pernah lagi saya dilamar syarikat perunding kewangan.
“Tetapi siapa tidak mahu tawaran lumayan? Saya akui boleh ‘sesat’ sekejap kalau tiba-tiba dapat tawaran hampir setengah juta.
“Cuma andai betul, timbul juga rasa was-was. Bukan apa risau dari mana mereka dapat wang sebanyak itu kerana selalunya syarikat besar lagi berkira,” ujarnya.
Terdahulu beberapa selebriti termasuk ikon tempatan dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.
Ini susulan tindakan agensi berkenaan menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam Ops Sky.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan seorang individu awam.
Kesemua mereka dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM. – KOSMO! ONLINE