fbpx

‘Pagi ayah dibunuh, zuhur kakak pula meninggal dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga Muhammad Muslim dan Ibrahim berhimpun di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Tiada apa yang lebih menyedihkan buat seorang lelaki apabila kehilangan dua insan tersayang serentak dengan seorang meninggal dunia akibat dibakar hidup-hidup, manakala seorang lagi akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Mohd. Akram Ibrahim, 30, berkata, kematian bapanya, Ibrahim Mydin, 61, merupakan satu tragedi kerana meninggal dunia pada hari sama kakaknya, ­Zainab, 35, dijemput Ilahi.

“Selepas ayah mati dibunuh, kakak pula meninggal dunia pada waktu zuhur hari yang sama selepas seminggu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Dua kematian dalam satu hari, kami masih trauma, namun perlu banyak bersabar,” katanya ketika ditemui ketika upacara pengebumian di Masjid Al Ikhsan, Tongkang Yard di sini semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Ibrahim ditemui rentung bersama anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23, dalam kebakaran di sebuah rumah dekat Tongkang Yard di sini pada 21 Januari lalu.

Kejadian bermotifkan dendam itu membawa kepada lima lelaki sebelum dua penganggur, Mohd. Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh.

Menurut Mohd. Akram, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya ialah pada pukul 11 malam hari kejadian.

“Ayah dan Muslim minta saya bawa mereka untuk buat laporan polis berhubung kehilangan te­lefonnya. Saya hantar mereka dan salah seorang tertuduh sebelum saya menerima maklumat mereka rentung pada waktu su­buh keesokan harinya,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Muslim, Mohd. Zaini Hashim, 63, berkata, dia tidak menyimpan dendam dan bersedia memaafkan pembunuh.

“Marah, simpan dendam pun tak guna. Saya akan maafkan mereka (pembunuh) apabila kes mahkamah ini selesai, tak ada bersangkut apa lagi. Saya maafkan juga bagi pihak anak saya,” katanya.

Ujar Mohd. Zaini, walaupun perbuatan tertuduh itu kejam apatah lagi merupakan rakan arwah anaknya itu, mereka sekeluarga sudah reda dengan takdir tersebut.

“Apa pun saya harap mereka yang terlibat akan mendapat ba­lasan setimpal.

“Saya akan mengikuti kes ini sehingga selesai melalui media sahaja sehingga jatuh hukum,” katanya ketika ditemui di HSB di sini semalam.

Keluarga mangsa ditemui ketika menuntut dua jenazah untuk disemadikan di Tambak Bunga di Kuala Kedah.

Menurut Mohd. Zaini, mereka sekeluarga turut melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat membawa pulang Allahyarham Muhammad Muslim untuk di­semadikan.

“Semalam polis telefon boleh bawa arwah pulang untuk di­semadikan hari ini (semalam). Kami bersyukur akhirnya dapat kebumikan arwah.

“Kami sekeluarga sudah reda dengan kejadian itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI