KUALA SELANGOR – Mayat wanita, Yong Jia Yein, 34, yang hilang pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina ditemukan dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Pantai Remis, Jeram di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia 34 tahun itu dijumpai anggota Unit Peronda Polis (MPV) kira-kira pukul 2 pagi sewaktu melakukan rondaan di pantai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajudin berkata, ketika dijumpai, mayat mangsa berada dalam kereta dengan keempat-empat pintu berkunci.
Katanya, khidmat bomba digunakan bagi membuka pintu seterusnya mengeluarkan mayat wanita tersebut.
“Semakan mendapati si mati merupakan individu yang dilaporkan hilang pada 31 Januari lalu. Kali terakhir mangsa ditemui pukul 10 pagi, 21 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, semakan mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dan unsur jenayah dalam kes kematian wanita tersebut.
Mayat Jia Yein dihantar ke Hospital Tanjong Karang di sini untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE