fbpx

Perangkap umpan ayam tangkap buaya sesat di Pantai Cermin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai serta anggota Perhilitan Negeri Sembilan memasang satu perangkap dengan umpan ayam di Pantai Cermin, di sini, hari ini. -Foto NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

PORT DICKSON – Seekor ayam dijadikan sebagai umpan untuk memerangkap buaya tembaga yang dipercayai tersesat di Pantai Cermin sejak Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran reptilia itu di kawasan pantai berhampiran iaitu Pantai Tanjung Biru hujung tahun lalu.

Katanya, pihaknya mengesyaki buaya di pantai itu adalah haiwan sama yang kelihatan di Pantai Tanjung Biru dan berharap agar perangkap dipasang berhasil memandangkan kehadiran reptilia tersebut menimbulkan kegusaran awam.

“Mungkin buaya itu main di kawasan sini. Buaya ini ada ‘territory’ (kawasan) dan biasanya akan berpatah balik ke kawasannya.

“Kita juga mengesyaki buaya ini tersesat dari Sungai Linggi berikutan lokasi itu merupakan habitat buaya pada jarak 10 kilometer. Kemungkinan lain seperti buaya ini sakit atau sebagainya hanya boleh diketahui selepas ia ditangkap.

“Malah, pemantauan kita di kawasan bakau berhampiran Pantai Cermin ini tidak menemui sarang atau ‘port’ reptilia ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Cermin hari ini.

Ditanya mengenai cadangan pemasangan papan tanda amaran kehadiran buaya, beliau berkata tindakan itu hanya akan menimbulkan kegusaran awam sedangkan kawasan pantai tersebut bukan habitat reptilia tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI