LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menganggap kemenangan 2-1 ke atas West Ham United awal pagi semalam sebagai kejayaan besar buat pasukannya untuk memastikan misi mereka berada dalam kelompok empat terbaik berjalan lancar.
Pada perlawanan tersebut, The Blues berjaya mencipta kebangkitan untuk menyekat skuad bekas pengurus mereka, Graham Potter dalam mici mencipta kejutan bersama West Ham.
“Sangat hebat kerana ini adalah perlawanan sukar terutamanya dari aspek mental. Bukan mudah apabila ada pasukan yang datang ke sini dan bermain bertahan.
“Jadi, kami perlu lebih bersabar, kena terus menggerakkan bola bagi menunggu detik terbaik untuk melakukan serangan. Kami bangkit di babak kedua dan kami memang berhak untuk dapatkan kemenangan ini.
“Pasukan lawan juga hanya menanti kami melakukan kesilapan, tetapi kami sedar yang kami tidak boleh lagi menanggung kekecewaan untuk aksi kali ini,” katanya.
Jarrod Bowen terlebih dulu meletakkan West Ham di depan, namun Chelsea mempamerkan kebangkitan di babak kedua apabila memperoleh jaringan menerusi Pedro Neto dan jaringan sendiri Aaron Wan-Bissaka.
“Semuanya berkisar tentang pemain, bukannya soal pengurus. Namun, saya fikir kami perlu perbaiki sentuhan penyudah dan kena tampil lebih klinikal setiap kali memperoleh peluang,” jelasnya. – AGENSI