KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima sebanyak 915 panggilan kecemasan bagi operasi menyelamat sepanjang banjir melanda Sabah dan Sarawak setakat ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Ir. Ahmad Izram Osman berkata, sebanyak 550 panggilan diterima dari Sarawak manakala bakinya 365 panggilan dari Sabah.
“Berdasarkan aduan diterima tersebut, sebanyak 81 operasi telah dilaksanakan di Sabah dengan 1,325 mangsa banjir berjaya diselamatkam dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Di Sarawak pula, sebanyak 62 operasi melibatkan 2,681 mangsa telah dilaksanakan setakat ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini hari ini.
Beliau turut menyampaikan bantuan bernilai RM21,000 kepada 11 waris pegawai serta kakitangan bomba yang telah meninggal dunia.
Ahmad Izram berkata, setakat ini, perkembangan banjir di Sabah dan Sarawak masih dalam keadaan terkawal dan masih belum memerlukan sebarang tambahan anggota dari Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM masih dalam keadaan bersiap siaga dengan kemungkinan banjir di negeri lain sehingga berakhirnya pada pertengahan Mac depan. – KOSMO! ONLINE