KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) iaitu aktiviti tinggal di inap desa dan ‘kampung stay’ mampu menjana pendapatan RM100 juta tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu sejajar dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Beliau berkata, program itu berharap dapat menjadi titik lonjakan bagi industri inap desa untuk terus berkembang sekali gus memberikan manfaat besar kepada rakyat serta ekonomi Malaysia.
Jelasnya, industri inap desa berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi desa serta mewujudkan peluang pendapatan baharu.
“Oleh itu, pengusaha inap desa perlu bersedia untuk meningkatkan daya saing melalui penambahbaikan infrastruktur, pemasaran digital dan penyediaan pengalaman unik yang menonjolkan budaya serta keindahan semula jadi Malaysia.
“Justeru, saya menggesa agar pelbagai insiatif diambil bagi membantu pengusaha inap desa mengatasi cabaran antaranya pendigitalan, untuk meningkatkan visibiliti Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia terutamanya pelancongan berasaskan komuniti ke arah Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat Koordinasi Inap Desa dengan Pihak-Pihak Berkepentingan Kali Ke-2 di Bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi program PPHm pada tahun lalu, ia berjaya menarik minat seramai 829,803 orang pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, sehingga Disember lepas, sebanyak 3,578 peserta dari desa telah menyertai PPHM dengan menjana pendapatan sebanyak RM54,896,725 sekaligus berjaya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup penduduk desa.
“Bagi meningkatkan lagi potensi PPHM ke arah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup khususnya warga desa, beberapa isu yang dihadapi oleh pengusaha homestay di bawah PPHM telah dibincangkan ketika mesyuarat hari ini,”ujarnya.
Tambah Ahmad Zahid, pihaknya juga menyasarkan seramai 5 juta pelancong yang akan menyertai program PHHM itu pada tahun 2030 dengan sasaran pendapatan kira-kira RM500 juta.-KOSMO! ONLINE