KUALA LUMPUR – ‘Masa ada kuasa (jadi kerajaan) kenapa kamu tidak buat, baharu sekarang nak jadi hero.
Demikian penegasan Perdana Menteri ketika membidas kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa kerajaan gagal membantu golongan petani yang ketika ini berdepan dengan kos kenaikan diesel serta harga lantai padi yang rendah.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan Hamzah tersebut menunjukkan seolah-olah beliau ingin menjadi ‘hero’ selepas tidak lagi menjadi kerajaan.
“Majoriti petani faham kita dah belanja RM2.4 bilion, tak payah jeirit-jerit. Saya nak sebut di sini sebab seolah-olah dia (Hamzah) nak jadi hero.
“Masa dia ada kuasa, dia tak buat. Itu ‘point’ yang saya nak bangkitkan. Nak jadi hero sekarang boleh, tetapi bedanya saya dah jawab pertama kita dah naikkan (harga padi) 2023, kita naikkan lagi 2024 dan telah umumkan kenaikan (tahun ini) akan diumumkan Menteri (KPKM) minggu depan.
“Maknanya, itu kita dengar, majoriti petani dan pesawah faham. Kedua saya nak sebut subsidi RM2.4 bilion itu adalah satu penambahan yang besar kalau dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan kenapa semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan mereka tidak membantu nasib petani tersebut.
“Masa berkuasa kamu (PN) leka, masa tidak berkuasa jerit tak buat. Saya nak sebut di sini semasa kita (Kerajaan Perpaduan) ada kuasa hari ini, saya akan lakukan apa yang termampu.
“Termasuk tambahan RM1 bilion di Kedah untuk kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda). Yang tidak dibuat dan difikirkan sebelum ini,”ujarnya.
Terdahulu, Anwar berkata, sekiranya ada mana-mana nama petani atau pesawah yang terbeban dengan kos diesel ini tolong hantar nama dan kerajaan akan membayar semula kos mereka.
“Sebab dalam program Padu (Sistem Pangkalan Data Utama) kita telah beri jaminan untuk petani, penternak dan pesawah hak mereka diberikan.
“Keduanya, RM600 yang diberikan (untuk subsidi diesel kepada golongan terbabit) cukup untuk menampung kos diesel itu,”katanya.-KOSMO! ONLINE