PETALING JAYA – Polis mengesahkan menerima dua laporan berkaitan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berhubung fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ada, kita terima dua laporan petang semalam (3 Februari) daripada kedua-dua Timbalan Naib Canselor universiti terbabit,” katanya kepada Kosmo!
Semalam, Mohd. Ekhwan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Beliau turut memaklumkan satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dibuat berhubung fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan ada salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd. Ekhwan. – KOSMO! ONLINE