KANGAR – Seorang guru sebuah sekolah menengah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan amang seksual terhadap dua pelajar lelaki, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik, 44, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang dituduh melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun antara pukul 2.40 petang hingga 11 malam dari 21 Ogos hingga 27 November 2023 di bilik media sekolah tersebut.
Tertuduh turut didakwa melakukan perkara sama pada seorang pelajar lelaki lain, juga berusia 13 tahun di lokasi sama pada pukul 12.15 tengah hari, November 2023.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Sementara itu, Nabilah memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM19,000 bagi kelima-lima pertuduhan tersebut, namun pembelaan memohon jumlah tersebut dikurangkan.
Mohamad Alif Farhan dalam hujahannya berkata, anak guamnya menyara seorang isteri dan anak angkat yang bersekolah selain memiliki beberapa masalah kesihatan kronik.
Katanya, anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang tahap empat, menunggu masa untuk melakukan pintasan jantung serta baru keluar dari wad kerana serangan strok.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 5 Mac depan. Tertuduh membayar wang jaminan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE