PETALING JAYA – Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) ke-8, berkuat kuasa 30 Januari lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan hari ini, berkata, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012.
“Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari tahun 2022 dan pernah menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang.
“Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari tahun 2014 hingga 2018,” kata kenyataan itu.
Dengan pengalaman dan reputasi kepimpinan yang dimiliki Arman Rumaizi itu, KPT yakin beliau berupaya meneraju dan memperkasa tadbir urus UPNM.
“Ia termasuk mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan bagi melahirkan bakat terbaik khususnya dalam sektor pertahanan serta keselamatan negara.
“KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad atas jasa bakti beliau menerajui UPNM sebelum ini,” ujar kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE