BATU PAHAT – Seorang wanita merayu sesiapa sahaja yang ada ‘menyimpan’ anak perempuannya agar dapat menyerahkan kembali kepangkuan keluarga dengan cara yang baik.
Mahriana Makino, 32, berkata, anaknya, Farhana Shahrul Afendi, 15, tidak mungkin dapat hidup tanpa ‘penjagaan seseorang’ selepas keluar dari rumah di Nombor 11, Jalan Rotan Sendang, Taman Sri Jaya di sini sejak 2 Januari lalu.
Katanya, anaknya yang masih dibawah umur itu mungkin tidak dapat berfikiran waras dengan tindakan dilakukannya dan orang yang ‘menyimpannya’ pasti boleh menasihatkan untuk balik semula ke rumah.
“Balik lah along, ibu rindu dan risaukan keselamatan kamu, jika ada yang tidak kena, ceritakan pada ibu agar dapat diselesaikan.
“Jika melihat kepada pakaian dibawanya, tidak menunjukkan dia akan keluar lama malah tiada duit belanja yang cukup untuk tempoh sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Mahriana, dia sanggup memaafkan kesalahan dilakukan anak sulung daripada dua beradik itu asalkan selamat kembali bersama keluarga semula.
Ujarnya, sejak kehilangan Farhana, keluarganya kini sentiasa berduka dan bimbang dengan kejadian kehilangan sebelum ini yang berakhir dengan tragedi ngeri serta sedih.
“Saya merayu kepada orang ramai yang ada melihat kelibat anak agar segera memaklumkan kepada pihak polis atau keluarga di talian 011-11979421 agar dapat diambil tindakan,” katanya.-KOSMO! ONLINE