fbpx

Peniaga tidak mengaku ugut bunuh 5 remaja, lepas tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusooff mengaku tidak bersalah membuat ugutan jenayah dan melepaskan tembakan di Mahkamah Majistret Kuala Nerang, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

KUALA NERANG – Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut bunuh dan melepaskan tembakan di sebuah kedai makan dan runcit di Naka, dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Yusooff Salleh, 57, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian ke atas lima remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun di kedai makan dan runcit di Kampung Bagan, Jalan Nami di Naka di sini kira-kira pukul 11 pagi, 27 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, Yusooff didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis senapang patah Fair Premier di tempat yang tidak dibenarkan secara bertulis untuk digunakan sebagai padang tembak oleh ketua polis negeri di lokasi dan masa sama.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien ketika prosiding tidak mencadangkan jaminan diberikan kepada tertuduh.

Peguam mewakili tertuduh, Murtazadi Amran bagaimanapun memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh belum dibuktikan bersalah, selain menghidap pelbagai penyakit.

“Tertuduh merupakan seorang penduduk tempatan yang akan hadir pada tarikh ditetapkan dan bicara. Dia juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang serta masih menerima rawatan.

“Jadi, saya memohon mahkamah memberikan jaminan untuk dia terus mengambil ubat serta dapat berpuasa bersama keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan dua syarat tambahan iaitu tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tertuduh membayar jaminan dikenakan. Kes akan disebut semula pada 4 Mac depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI