PONTIAN – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang pada waktu subuh semalam dan sehingga kini masih tidak dapat dikesan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita tersebut dikenali sebagai Roslina Mohd Alwey, 58, beralamat di No 66, Simpang Tiga, Benut.
Menurutnya, adik ipar Roslina tampil membuat laporan Polis di Balai Polis Benut mengenai kehilangan kakak iparnya yang menghidapi masalah kesihatan.
“Setakat ini tiada sebarang perkembangan mengenai kehilangan Roslina yang dilaporkan hilang pada pukul 5 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, Roslina tidak berkahwin dan pernah mendapat rawatan di Klinik Pakar Psikitri, Hospital Permai, Johor Bahru tinggal dirumah ibunya dan dijaga oleh ahli keluarganya.
“Mengikut laporan yang dibuat, Roslina mempunyai ketinggian 185cm dengan berat anggaran 52 kilogram, berkaca mata, berkulit putih, berambut panjang dan hidung mancung,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi orang hilang tersebut boleh terus menghubungi Ketua Balai Polis Benut, Sarjan Mejar (SM), Norazli Salleh ditalian 019-7475485 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Pontian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampran. KOSMO! ONLINE